Tuesday, October 27, 2009

Mengapa Memakai Tudung Itu Jadi Syirik


Dalam bahasa Melayu kita guna perkataan "Mempersekutu" apabila kita terjemah perkataan "Syirik" dari bahasa Arab dalam Al Quran.

Syirik adalah satu perbuatan jenayah yang paling jijik disisi Allah dan kebanyakan manusia menganggap perkara ini tidak penting kerana guru-guru agama mereka berkata perbuatan syirik hanya berlaku bila kita percaya kepada "bomoh" atau kita menyembah "berhala". Mereka tidak pernah dan tidak akan mengaku bahawa mentaati dan mengamal apa yang mereka ajar kepada kita - kita akan terperangkap kedalam perbuatan "syirik". Kita amat yakin segala yang kita amalkan sebagai seorang Islam kita tidak pernah "Syirik" atau "mempersekutukan Allah. Malahan kita akan menafi dengan sekeras-kerasnya apabila Allah bertanya kepada kita pada hari akhirat:-

"Pada hari Kami menghimpun mereka semuanya - lalu Kami bertanya kepada mereka yang telah "mempersekutukan Kami" (syirik) - Mana dia sekutu-sekutu kamu orang-orang yang kamu sendiri iktiraf?" (6:23)

Lalu kita akan menjawab:

"Kemudian tiada lagi fitnah mereka melainkan mereka berkata, "Demi Allah, Tuhan kami! kami tidak pernah mempersekutukan (syirik) Kamu!" (6:24)

Lalu Allah akan berkata:

"Lihat! bagaimana mereka masih lagi membuat dusta tehadap diri mereka sendiri". Ketika itu hilanglah segala apa yang mereka telah ada-adakan." (6:25)

Syirik adalah satu jenayah yang dilakukan tanpa sedar semasa kehidupan di dunia.

Kita boleh melakukan apa saja kesalahan dalam hidup kita samada ianya kecil atau besar - dengan sengaja atau tidak - nyata atau tersembunyi - kesemuanya boleh diampun oleh Allah kecuali "syirik".

"Allah tidak akan sekali-kali mengampun perbuatan mempersekutukanNya (syirik)- dan Dia mengampun apa saja selain dari itu bagi sesiapa saja Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah - maka sesungguhnay dia telah melakukan jenayah yang paling besay". (4:48)

Dalam lain kata, kita boleh melakukan apa saja kesalahan sehingga sampai masa kita sedar bahawa apa yang kita telah lakukan selama ini adalah satu penganayaan atas diri kita sendiri. Sebagai hamba Allah maka tempat kita meluahkan kekesalan kita hanyalah kepadaNya sahaja. Dan Allah berjanji:-

"Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beramanah lalu mereka mendisiplinkan diri dengan amalan yang baik-baik - maka mereka itu akan dikreditkan Allah kejahatan mereka dengan kebaikan - dan sesungguhnya Allah adalah Pengampun dan Penyanyang. Barangsiapa bertaubat dan melakukan kerja-kerja yang elok maka dia telah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat." (25:70-71)

Mengikut pertimbagan kita sebagai manusia biasa Nabi Adam hanya melakukan satu kesalahan kecil apabila beliau tidak mentaati satu larangan yang amat mudah dari Allah. Beliau melakukan kesalahan ini kerana "mendengar" nasihat orang lain dan Adam tidak sedar niat sebenar penasihat beliau adalah untuk menipunya supaya dia tidak menuruti perintah Allah semata-mata. Apabila beliau sedar perbuatan beliau itu adalah satu kesalahan besar bagi sisi Allah lalu beliau berkata:-

"Ya Tuhan kami, kami telah menganayai diri kami sendiri - kecuali kamu mengampunkan kami - dan memberi rahmat kepada kami - niscaya kami akan menjadi orang-orang yang rugi". (7:23)

Balasan ke atas Adam dan isterinya kerana "mendengar nasihat" selain dari Allah adalah mereka dikeluarkan dari Taman - bumi yang luas akan dijadikan tempat musuh bermusuhan diantara satu dan lain dan sebagai tempat menetap dan kesenangan sehingga waktu yang ditetapkan, (7:24) Kemudian Allah bersambung: "Kamu akan hidup didalamnya, kamu akan mati didalamnya dan kamu akan dibangkit (dari mati) didalamnya" (7:25)

Setelah kita diberitahu tentang cerita Adam Allah kemudian menasihati kita dengan gelaran sebagai anak-anak Adam supaya berjaga-jaga dengan tipu muslihat syaitan. Mengikut Al Quran kita tidak boleh lihat syaitan tetapi syaitan boleh lihat kita dengan jelas. Kebanyakan manusia fikir syaitan-syaitan yang berkongsi muka bumi ini dengan kita mempunyai tanduk dan bertaring macam dracula - tetapi mereka lupa syaitan-syaitan yang berkeliaran dimuka bumi in adalah manusia biasa. Kita hanya dapat melihat wajah mereka sebagai manusia - tetapi kita tidak dapat lihat perilaku dan sifat-sifat kesyaitanan mereka. Kita digalakkan selalu berdoa kepada Allah daripada bisikan-bisikan jahat dari Jin atau manusia:-

"Aku berlindung kepada Tuhan kepada manusia - Yang menguasai manusia - Pemelihara manusia - Daripada kejahatan bisik-bisikan yang tersembunyi - yang membisikkan kedalam dada manusia - samada dari jenis Jin atau Manusia" (Surah 114)

Yang menjadi musuh besar kepada Allah dan nabi-nabi adalah syaitan-syaitan jenis Jin dan "manusia" dan Allah berkata mereka mengada-adakan "ajaran-ajaran selain dari apa yang disampaikan oleh pesuruh-pesuruh Allah":

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi syaitan-syaitan dari jenis manusia dan jin sebagai musuh yang mengwahyukan diantara satu sama lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk tujuan menipu. Dan kalau dikehendaki oleh Tuhanmu sudah tentu mereka tidak melakukannya. Maka, tinggalkan lah mereka dengan apa saja yang mereka ada-adakan." (6:112)

Syaitan-syaitan jenis manusia ini telah membuat fitnah terhadap Nabi Muhammad dengan mengatakan Nabi telah bersabda hadis itu dan hadis ini, dan kebanyakan manusia yang tidak mempunyai keimanan dan tidak percaya pada hari akhirat dengan sesungguhnya - mereka akan terima fitnah-fitnah ini sebagai kepercayaan agama Islam mereka.

"Dan supaya cenderung kepadanya hati orang-orang yang tidak beriman dan akhirat -mereka berasa mudah - lalu mereka kerja apa yang orang-orang lain kerjakan." (6:113)

Mengapa pakar-pakar agama berani membuat fitnah dan pembohongan kepada manusia dengan mengatakan Nabi telah membuat beribu-ribu hadis sebagai hukum Allah sedangkan beliau telah diwahyukan oleh Allah untuk membuat pengakuan dalam Al Quran itu sendiri bahawa "Allah telah menurunkan hukumNya dengan terperinci dalam Al Quran:-

"Apakah selain daripada Allah "Aku" mencari sebagai hakim? Bukankah Dia telah menurunkan kepada kamu Kitab (Al Quran) yang terperinci?".... (6:114)

"Dan orang-orang yang Kami sampaikan Kitab (sebelum ini) mengetahui bahawa ianya telah diturunkan oleh Tuhanmu dengan sebenarnya...." (6:114)

"Maka, janganlah kamu menjadi orang-orang yang ragu." (6:114)

Nabi berkata dalam Al Quran:-

"Hukum Allah telah diperincikan dalam Al Quran" (6:114)

Ulamak dan imam-imam membuat fitnah terhadap Nabi dengan berkata:-

Nabi telah mengeluar hadis-hadis sebagai hukum selain dari Quran.

Siapa yang bercakap benar? Nabi atau ulamak-ulamak?

Adakah kita akan mendengar dan taat nasihat-nasihat ulamak sepertimana Adam telah mentaati dan melakukan kerja selain daripada apa yang diperintah oleh Allah?

Apakah kita tidak "mempersekutukan" Allah apabila kita "beriman" kepada apa yang telah diajarkan oleh ulamak-ulamak selain dari apa yang terdapat dalam Al Quran?

Dalam Al Quran tidak ada satu pun arahan dari Allah bagi wanita-wanita untuk memakai tudung. Ulamak-ulamak telah memutar belitkan perkataan-perkataan Arab dalam sura 24 ayat 31 lalu mentafsirkannya sepertimana syaitan telah mentafsir arahan Allah kepada Adam. Apa yang jelas Allah telah menetapkan kepada anak-anak Adam tentang etika berpakaian dan supaya jangan kita terpedaya oleh syaitan-syaitan jenis manusia:-

"Wahai Anak-anak Adam, Kami telah turunkan kepada kamu pakaian untuk menutup keburukan-keburukan kamu dan juga perhiasan. Dan pakaian perilaku (takwa)itulah
yang paling baik bagi kamu. Demikian itulah dari ayat-ayat Allah supaya mereka diperingatkan". (6:26)


Wahai Anak-anak Adam, jangan sekali-kali kamu diperdaya oleh syaitan-syaitan sepertimana dia mengenlincir kedua ibu-bapa kamu dari taman sehingga tertanggal pakaian mereka (perilaku mereka) untuk mendedahkan keburukan-keburukan (perilaku) mereka. Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncu-kuncunya boleh melihat kamu dimana-mana saja, tetapi kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami jadikan syaitan-syaitan itu sebagai pemimpin-pemimpin untuk orang-orang yang tidak beriman." (7:27)

Allah telah menurunkan "pakaian" kepada kesemua anak-anak Adam samada lelaki atau perempuan. Pakaian yang paling baik bagi mereka ialah "perilaku" atau "kelakuan diri" atau "takwa" dan bukannya cara berpakaian. Ketakwaan tidak boleh dibukti dengan berpakaian tudung atau kopiah atau jubah seperti kuncu-kuncu syaitan.

1 comment:

  1. Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31: (maksudnya) “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

    ReplyDelete